Menyingkap pengalaman kerja berkaitan fardu kifayah umat Islam, si penggali kubur, Atan Ramli ada cerita tersendiri.
Lelaki berusia 42 tahun ini ketika berkongsi pengalaman kerjanya, sesekali kelihatan seperti bergurau.
Namun, di sebalik matanya jelas menggambarkan tiada yang bohong dalam bicaranya kerana apabila bercakap mengenai alam roh ia adalah rahsia ALLAH walaupun kadang-kala sukar dimengertikan kerana ilmu ALLAH SWT amat luas dan tak terjangkau dek logik akal manusia, sehingga memaksa ramai manusia menterjemahkan segala yang sukar diterima akal itu sebagai misteri.
"Suatu pagi, seseorang jumpa saya dan beritahu ada jenazah nak dikebumikan petang nanti. Masa dia beritahu tu, saya dengan seorang lagi kawan penggali kubur hanya angguk kepala. Saya beritahu orang tu, jika betul ada jenazah yang nak disemadikan petang nanti, hubungi saya semula.
"Petang tu, memang betul ada kematian dan jenazah nak dikebumikan. Seperti biasa, saya pun lakukan tanggungjawab saya sementara tunggu van jenazah sampai. Bila jenazah dah sampai, saya terkejut sangat.
"Payah saya nak cakap, tapi memang saya terkejut sebab jenazah yang saya lihat tu adalah orang sama yang datang jumpa saya pagi tu beritahu ada mayat nak dikebumikan petang nanti. Kiranya, arwah sendiri yang datang jumpa saya beritahu," katanya yang sesekali dilihat menggosok-gosok bulu roma di tengkuknya.
Menurut cerita anak arwah, pada sebelah pagi hari kejadian bapanya sedang terlantar tenat di hospital.
"Bila dengar cerita anak arwah, saya terus berasa seram. Namun, sekejap saja... Selepas beristighfar berulang kali, perasaan kembali tenang. Walaupun, ia tak logik pada akal manusia, tapi saya sedar tiada yang mustahil bagi ALLAH. Ini semua tanda kehebatan ALLAH, kalau Dia nak izin, tiada siapa dapat halang.
"Roh pun berada dalam kuasa ALLAH. Jadinya, benda-benda ghaib dan misteri ni saya dah lali... sebab ia tak jadi kalau ALLAH tak izin," katanya lirih sambil sesekali dilihat menggosok-gosok tapak tangannya ketika mengimbau kisah yang berlaku 15 tahun lalu itu.
Setelah 28 tahun berkhidmat sebagai seorang penggali kubur, Atan memberitahu, bau dari tanah kubur telah sebati dengan dirinya dan kawasan perkuburan telah menjadi rumah keduanya.
Menjadi seorang penggali kubur banyak mengajarnya erti keikhlasan, kesabaran dan menuntut rasa hormat kepada mana-mana jenazah yang dihantar untuk disemadikan. Walaupun, banyak menyaksikan kejadian aneh yang sebab musababnya hanya mampu dijawab oleh ALLAH SWT.
Sudah biasa berdepan peristiwa misteri
Suara wanita menggilai, lubang dipenuhi bongkah batu dan kayu apabila dikorek dan imbasan entiti melintas adalah antara pengalamannya ketika menggali lubang kubur pada waktu malam.
Pernah juga dia mencangkul lubang kubur berdua bersama seorang rakan tergamam apabila melihat ada ‘seorang’ lagi penggali kubur antara mereka yang seolah-olah datang memberi bantuan.
“Mula-mula kami cangkul berdua, bila saya toleh belakang tengok, kami bertiga tapi sekejap lepas itu ‘seorang’ lagi hilang,” katanya.
Mula berkhidmat sejak berusia 13 tahun, rasa takut pada jenazah yang pada awalnya menebal dalam diri mula beransur hilang apabila dia sepenuhnya membabitkan diri dalam bidang itu.
Rumah dihuni keluarganya juga hampir dengan tanah perkuburan menjadi sebab utama pekerjaan yang digeruni sesetengah pihak itu menjadi sebati dalam hidupnya sehingga kini.
Bermula dengan Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohol, Kinrara, Atan yang dikenali ramai kini menyambung khidmat di Unit Kubur Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Tanah Perkuburan Islam USJ 21.
Suami kepada Siti Zunaidah Mohd Darudin, 41, ini berkata, di tangannya sudah hampir 500 jenazah disemadikan tidak kira usia dan tanpa mengira waktu kematiannya.
Mengakui profesion penggali kubur dulu dan kini banyak berbeza, generasi mewarisi pekerjaan itu kini lebih kurang terbeban kerana boleh menggunakan teknologi seperti mesin jengkaut yang lebih menjimatkan masa.
“Dulu kena pakai cangkul dan tenaga, tapi sekarang boleh pakai jengkaut. Dulu tiga jam nak korek satu lubang, sekarang tak sampai sejam lubang dan siap," kata bapa kepada Mohd Syafiq, 16, Mohd Sirhan, 16, dan Mohd Syarif, 7.
“Memang diakui bukan calang-calang orang boleh jadi penggali kubur. Kalau semangat tak kuat pokok bergoyang pun rasa takut, yang penting jangan mengeluh bila buat kerja ini,” katanya sekali gus memberitahu kepuasan dapat dirasakan setiap kali selesai menyempurnakan pengebumian jenazah.
Menurutnya, berdepan dengan pelbagai ragam waris jenazah juga dia sudah lali.
"Kita kena sabar dan tenang bila hadapi kemarahan waris jenazah yang diuruskan yang kadangkala tak dapat terima kenyataan jika berlaku sesuatu kejadian pelik," katanya sambil memberitahu pernah berlaku keadaan saiz lubang kubur tiba-tiba tidak muat untuk jenazah sedangkan ukuran tepat telah dibuat.
"Waris arwah marah dan salahkan saya kononnya buat ukuran tak ikut spesifikasi. Masa tu saya diam saja dan berdoa minta segala dipermudahkan akhirnya urusan jenazah itu dapat diurus dengan lancar.
“Saya percaya sebenarnya di tanah kubur ini ada ‘penghuni’ cuma mata kasar kita saja tak dapat melihatnya, jadi kita perlu jaga adab di situ.
"Selain itu, saya sangat percaya amalan yang kita buat semasa hidup kadangkala menunjukkan ‘bahagian’ masing-masing saat menuju ke alam barzakh.
"Sebenarnya tak semua yang misteri di kawasan kubur itu menyeramkan," katanya yang disudahi dengan ungkapan perlahan Allahuakbar. - SH
Leave a Comment